Yayasan Didik Negara

Farm Fresh sumbang RM500,000 kepada Yayasan Didik Negara

KUALA LUMPUR: Pengeluar produk tenusu terbesar Malaysia, Farm Fresh Berhad hari ini menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Didik Negara dalam usaha membantu meningkatkan akses dan kualiti pendidikan. Pengarah Urusan Farm Fresh, Azmi Zainal, berkata syarikat itu memberi sumbangan berkenaan dengan hasrat membantu pelajar yang menjadi yatim piatu akibat COVID-19, dengan memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan seperti sedia kala.

“Kami dapati jumlah anak kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 meningkat dan kami tak mahu melihat mereka hilang peluang pelajaran selepas kehilangan tempat bergantung. Dalam tempoh pandemik ini, ramai pihak berbicara soal ekonomi, jarang kita lihat orang bercerita mengenai anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka. “Farm Fresh juga mahu menjadi pencetus kepada semua syarikat lain supaya turut bersama-sama menyumbang kepada Yayasan Didik Negara sebagai usaha memastikan masa hadapan yang cerah kepada pelajar dan anak-anak ini,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan replika cek sumbangan itu kepada Pengerusi Yayasan Didik Negara yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. Azmi memaklumkan, pihaknya akan turut mengadakan program meraih dana bagi membantu kanak-kanak dan remaja yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 menerusi penyediaan biasiswa kepada mereka.

“Insya-Allah saya akan buat program atau mungkin menerusi konsert Gegar Vaganza supaya dapat dana yang banyak untuk kita berikan biasiswa, sumbangan hari raya dan sebagainya,” katanya. Sementara itu, Radzi berkata, penubuhan Yayasan Didik Negara oleh kementeriannya bertujuan menggembleng sumbangan pelbagai pihak untuk menambah baik akses dan kualiti pendidikan di Malaysia.

Katanya, yayasan itu yang masih di peringkqt awal sedang merangka perancangan jangka pendek dan panjang serta menyusun bentuk program dan bantuan kepada kumpulan sasar. “Kita sedang rangka banyak program di bawah Yayasan Didik Negara dengan menentukan keperluan, bila dan di mana dana ini akan digunakan. Dana ini tidak terhad kepada golongan tertentu, selagi berkaitan dengan pendidikan, maka ia boleh dilaksanakan dengan mengambil kira lebih lima juta murid dan lebih 10 juta sekolah seluruh negara,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/883331/farm-fresh-sumbang-rm500000-kepada-yayasan-didik-negara

Loading

Scroll to Top